Sunday, January 30, 2011

Doa Buat Pasangan Kekasih


Tanggal 29 Januari 2011, salah seorang sahabat akrabku, Mohd. Erwan Mazlan telah mengadakan majlis kesyukuran kerana telah melangsungkan perkahwinannya bersama gadis pilihannya, Nadia Hani. Aku telah diminta untuk membacakan doa dalam bahasa Malaysia. Aku bersetuju.
Setelah aku mengamati doa perkahwinan ayahku yang begitu banyak, aku telah mengarang satu doa untuk mereka berdua berasaskan pada Asma ul Husna. Aku telah menyeru nama Allah yang berkenaan dengan doa yang ku pinta.
Walaupun doa lebih afdal sekiranya dibacakan dalam bahasa Al-Quran, namun, terdapat situasi di mana pembacaan doa di kalangan jemputan Majlis Kesyukuran yang mana terdapat di antaranya yang beragama Islam dan yang bukan serta hamper keseluruhan jemputan tidak memahami bahasa Arab, ada baiknya doa tersebut dibacakan dalam bahasa Malaysia. Aku tidak mencampurkan karangan doa ini dengan bahasa Inggeris kerana permintaan tuan rumah adalah untuk doa dibacakan dalam Bahasa Malaysia. Namun permulaan dan pengakirannya telah aku bacakan dalam bahasa Al-Quran.
Berikut merupakan doa yang ku karangkan untuk Erwan dan Nadia. Semoga ianya diperkenankan oleh Tuhan Yang Maha Mendengar dan Maha Menjawab Segala Permintaan, Insha Allah.
Bismillah…
Segala puji-pujian hanyalah untuk-Mu Ya Tuhan Semesta Alam. Kami memanjatkan selawat dan salam kehadrat Rasulullah SAW, Ahli keluarga dan keturunan Baginda, isteri-isteri Baginda dan sahabat-sahabat Baginda.
Wahai Tuhan yang mempunyai 99 Nama Terbaik yakni Asma Ul Husna, Erwan dan Nadia telah mengikat satu perjanjian perkahwinan berlandaskan Syariat Mu dan di atas nama Mu Ya Allah.
Melalui kebesaran Mu Ya Tuhan Yang Maha Agung dan Maha Raja, kami memanjatkan doa agar kedua pengantin ini menjadi pasangan yang akan bersama dalam keadaan cinta dan kasih sayang buat selamanya. Sepertimana cintanya Nabi Yusuf kepada Siti Zulaikha, cintanya Nabi Sulaiman kepada Siti Balqis, dan kasihnya Nabi Muhammad SAW kepada Saidatina Khadija (ra).
Wahai Tuhan Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang serta Yang Maha Pembuka Hati, Hanya melalui kasih sayang dan cinta terhadapMu dapat mereka mengenal erti belas kasihan dan bertolak ansur di antara satu sama lain. Mereka dapat menghormati dan berkorban untuk masing-masing. Mereka dapat mententeramkan jiwa yang bergelora, menyejukkan mata, menyukakan hati masing-masing dan juga ahli keluarga mereka.
Wahai Tuhan Yang Maha Lembut, lembutkanlah hati mereka dan nakhodakan hati mereka untuk mencintaiMu. Dan yang paling penting Wahai Tuhan Yang Maha Mengasihani, cintailah mereka berdua kembali.
Setiap manusia mempunyai kelebihan dan kekurangan masing-masing. Wahai Tuhan Yang Maha Sempurna dan Tiada Sebarang Kekurangan, tingkatkanlah kelebihan mereka agar ianya dapat menampung kekurangan yang ada dan sempurnakanlah mereka berdua melalui perkahwinan ini untuk menjadi “The Perfect Couple”.
Wahai Tuhan Yang Maha Sabar, tingkatkanlah kesabaran mereka dalam mengharungi pancaroba kehidupan berumah tangga. Hanya dengan ketakwaan kepada Mu Ya Allah, mereka akan berjaya menunaikan kewajipan dan tanggung jawab masing-masing. Maka Engkau tingkatkanlah ketakwaan mereka dan keinginan untuk mencari kemanisan iman terhadapMu Ya Allah.
Wahai Tuhan Yang Maha Pemberi Rezeki, Bukakanlah pintu rezekimu kepada mereka berdua agar melaluinya mereka dapat berjasa pada kepada agama Islam dan Umat Islam dan antara satu sama lain.
Kurniakanlah kepada mereka zuriat yang berakhlak mulia, cantik, bijak, berilmu, berjaya di dunia dan di akhirah seperti mana Engkau kurniakan Nabi Ishak dan Nabi Ismail kepada Nabi Ibrahim, Nabi Yusuf kepada Nabi Yaakub dan Siti Fatima Az Zahra kepada Nabi Muhammad (SAW). Kurniakan anak-anak yang akan menjadi cahaya kepada mata mereka, membawa kebanggaan dan kebahagiaan mereka dan yang akan menjadi pengikat kepada keutuhan keluarga mereka buat selama-lamanya.
Wahai Tuhan Yang Maha Memelihara, Jagalah mereka agar mereka sentiasa berada di dalam lingkungan Rahmah Mu, Barakah Mu kerana tiadanya faedah hidup di dunia ini tanpa KeredhaanMu.
Wahai Tuhan kami, berilah kepada kami dan isteri-isteri kami dan anak cucu kami pendingin mata dan jadikanlah kami pemimpin bagi orang-orang yang bertaqwa.
Kewujudan kejahatan tidak dapat kami nafikan. Wahai Tuhan Yang Maha Pelindung, lindungilah mereka berdua daripada segala kejahatan di dunia ini.
Wahai Tuhan Yang Maha Mendengar dan Yang Maha Mengkabulkan Permintaan, Perkenankanlah doa kami pada malam ini.
Selawat ke atas Nabi Muhammad (SAW)
Blog ditangguhkan.

2 obiter dictum:

Unknown said...

Amin :) Nice job on writing such beautiful and meaningful doa.

two_one said...

Jazakallahu Khair :)
The groom is one of my best buddies and the bride is one of the Bride's best buddies too. it was the least that i could do to contribute to their wedding. :) about an hour jugaklah to draft it. hehe. :)